Ceritera Nine

Hi semua,




Diberi judul Nine dan diarahkan oleh Rob Marshall, sutradara yang mencipta kemasyhuran menerusi filem muzikal, Chicago. Apa yang membuatkan filem ini nampak hebat dan gah ialah ia dibarisi oleh pelakon yang memiliki nama besar di Hollywood yang sebahagian besarnya merupakan pemenang Oscar. Barisan pelakon yang membintangi filem Nine ialah Daniel Day-Lewis, Marion Cotillard, Nicole Kidman, Penelope Cruz, Judi Dench, Sophia Loren, Kate Hudson serta vokalis kumpulan Black Eyed Peas, Stacy Ferguson atau lebih dikenali sebagai Fergie.


Para pengkritik filem berpendapat, Nine mampu menjadi filem muzikal terhebat tahun ini. Filem ini cukup cemerlang daripada pelbagai aspek seperti pengarahan, penataan seni, kostum, sinematografi, muzik dan juga suntingan. Mungkin ramai yang tidak tahu sebelum projek ini diteruskan, ia telah berdepan dengan pelbagai insiden terutama sekali penukaran pelakonnya yang silih berganti. Sebelum barisan pelakon yang sedia ada ini disahkan, nama-nama besar yang lain juga pada mulanya merupakan pilihan utama bagi membintangi filem yang dianggap cukup ekstravaganza ini.


Pemenang Oscar, Javier Bardem misalnya merupakan pilihan utama bagi watak Guido Contini, namun dia menarik diri pada saat akhir atas alasan berdepan dengan keletihan dan kepenatan. Watak Luisa yang dibawakan oleh Marion Cotillard dalam filem ini sebenarnya cukup menarik minat Katie Holmes dan dia sendiri menghadiri uji bakat. Tetapi, Rob Marshall merasakan Katie tidak mempunyai kriteria yang lengkap untuk membawakan watak berkenaan.

Pada asalnya juga, Catherine Zeta-Jones merupakan calon pertama untuk membawakan watak Claudia. Malah, Catherine sendiri teruja dengan projek filem ini dan meminta wataknya itu dibesarkan tetapi, ia mendapat bantahan daripada Rob. Tiada pilihan, Catherine meninggalkan projek ini dan selepas itu, nama-nama seperti Amy Adams, Gwyneth Paltrow, Anne Hathaway, Demi Moore dan Juliette Binoche disebut-sebut akan membawakan watak tersebut. Tetapi, sudah rezeki watak Claudia menjadi milik Nicole Kidman dan Rob sendiri memuji kehebatan Nicole yang dilihat berjaya menterjemahkan watak Claudia seperti mana yang diinginkannya.

Secara ringkasnya, filem Nine mengisahkan tentang permasalahan hidup yang dihadapi oleh Guido Contini, seorang pengarah filem terkenal yang berdepan dengan masalah peribadi dan juga kerjaya. Pada masa yang sama, dia juga perlu mengimbangi dunianya dengan wanita-wanita yang memainkan peranan penting dalam kehidupannya termasuklah isterinya, Luisa (Marion Cotillard), ibunya, Mamma (Sophia Loren) dan perempuan simpanannya, Carla (Penelope Cruz).

Bukan mereka berdua sahaja, Guido juga perlu berdepan dengan aktres kesayangannya, Claudia (Nicole Kidman), pereka busana dan kostumnya, Lilli (Judi Dench). Malah, kehidupannya itu juga cukup menarik perhatian seorang wartawan majalah fesyen Amerika, Stephanie (Kate Hudson) yang begitu berminat untuk menulis tentang perjalanan hidupnya. Tetapi, Guido juga harus menerima hakikat apabila seorang pelacur, Saraghina (Fergie) yang pernah singgah di hatinya kini kembali dalam hidupnya.

Filem yang diadaptasi dari pementasan teater muzikal dengan judul yang sama itu jga merupakan pemenang lima Tony Awards termasuk Teater Muzikal Terbaik pada tahun 1982.

nota: Disebabkan masih ada mentaliti kolot segelintir orang Malaysia, Nine mungkin tidak boleh tembus untuk tayangan tempatan! Filem tentang kisah benar kehidupan seorang blogger chef wanita Julie, Julia lakonan Meryl Streep juga dibatalkan tayangan di Malaysia. Kenapa? Pelik!

Posted by Amirul At 5:55 AM

4 Comments:

Unknown said... 20.12.09  

malaysia. biasa la tu. :) from the trailer, leh tahan citer ni.

Faizal Sulaiman said... 21.12.09  

wah ingatkan i sorang je review pasal musical ni. agak2 bila keluar filem ni kat mesia ek? huhu

Amirulanuar said... 30.12.09  

sarah,
cerita ni memang nampak boleh tahan. harap best macam Hairspray !

Amirulanuar said... 30.12.09  

faizal,
kalau x tayang kt pawagam, dapatkan dvd saja laa.
;)

Post a Comment